Pada 29 Oktober 2011 yang lepas Kelab UMNO Luar Negara Kursk telah menganjurkan aktiviti jualan yang dinamakan ‘Kursk International Pasar Malam’ (KIPM). KIPM adalah aktiviti jualan besar- besaran yang pertama kalinya di anjurkan oleh KULN Kursk. KIPM ini diadakan bertempat di Dewan Pharmacollege, bermula pukul 5 petang sehingga 9 malam. KIPM ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari semua lapisan pelajar tidak kira pelajar yang berasal dari Malaysia ataupun dari Negara- negara lain.
Seawal 3 petang, AJK-AJK KULN Kursk telah pun datang ke dewan tersebut bagi membersihkan, menyusun meja, menyediakan ‘extension plug’ bagi setiap gerai dan seterusnya menghias dewan tersebut. Dengan tenaga kerja yang mencukupi, Alhamdulillah segala kerja yang diamanahkan dapat diselesaikan dalam masa yang tepat.
Para pelajar yang telah mendaftar bagi membuka gerai telah datang tepat pada pukul 5 petang dan berusaha mempersiapkan gerai mereka dalam masa yang singkat kerana para pembeli telah mula membanjiri dewan pada masa tersebut. Sebanyak 10 buah gerai beraneka jualan telah menyertai aktiviti KIPM ini. Gerai bagi KIPM ini dibuka hanya kepada persatuan- persatuan dan pelajar Malaysia yang berada di Kursk, Rusia ini.
Tujuan KULN Kursk meletakkan peraturan ini adalah kerana untuk membantu para pelajar untuk mendapatkan duit tambahan samada bagi kegunaan individu ataupun bagi menjalankan aktiviti persatuan mereka.
Dianggarkan seramai lebih kurang 600 pembeli telah datang dan pergi bagi memeriahkan lagi KIPM ini. Pembeli- pembeli yang datang ke KIPM ini bukan sahaja terdiri daripada warga Malaysia, malah termasuk dengan pelbagai lagi warganegara seperti warganegara Brazil, Sri Lanka, India, Nigeria dan termasuklah warganegara Russia itu sendiri.
Para pembeli amat berpuas hati dengan makanan yang dibeli dan berharap agar aktiviti seperti ini dapat dijalankan dengan lebih kerap dengan keluasan tapak yang lebih besar agar mereka dapat membeli dan menikmati suasana pasar malam dengan lebih selesa. Dan bagi pihak penjual pula, rata-rata penjual amat bersyukur dan juga berpuas hati kerana dengan adanya aktiviti seperti ini mereka dapat menambahkan lagi wang saku mereka disamping menikmati pelbagai juadah Malaysia yang dirindui.
Pada keseluruhannya, pihak KULN Kursk, berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan, dan berterima kasih diatas kerjasama yang amat baik yang diberikan oleh AJK-AJK KIPM. Pihak KULN Kursk juga amat berterima kasih diatas bantuan yang diberikan oleh para pelajar khususnya para penjual yang tidak berat tulang untuk sama-sama membersihkan dewan tersebut setelah aktiviti tamat. KIPM ini berakhir lebih kurang 9 malam dengan selamatnya tanpa sebarang masalah.