Menganjak ke usia 65 tahun, UMNO diharap akan terus gagah memacu negara serta membela perjuangan bangsa seperti yang pernah dibuktikan sewaktu menuntut kemerdekaan suatu ketika dahulu.
Bagi para veteran UMNO, segala jasa dan khidmat dicurah parti keramat itu menjadi bukti betapa ia mampu diharapkan dalam membawa rakyat negara ini khususnya kaum Melayu untuk terus memajukan diri dan negara.Salah seorang daripadanya, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh berkata, berasaskan faktor-faktor itu, beliau mahu melihat UMNO terus kekal di atas landasan perjuangan yang dibina sejak penubuhannya pada 1946.
"Pada usia 65 tahun, UMNO masih kekal relevan kepada orang Melayu kerana kita memerlukan satu platform yang memperjuangkan suara kita secara kolektif," kata bekas Menteri Besar Perlis itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagi seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, sesiapa juga yang bertindak menempelak UMNO bermakna individu tersebut telah menderhaka terhadap orang Melayu.
"UMNO telah berusaha mendapatkan kemerdekaan. Jika tidak merdeka, berapa universiti yang akan wujud? Malah tiada institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) ditubuhkan untuk membantu Melayu," ujarnya.
Tokoh wanita UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail dalam pada itu amat berbangga dengan pencapaian UMNO sepanjang 65 tahun berkhidmat kepada rakyat di negara ini.
"Relevannya UMNO pada hari ini terbukti kerana tiada parti lain yang mampu mentadbir seperti UMNO setelah diberi mandat oleh rakyat di beberapa negeri. Justeru golongan muda usah terbawa-bawa dengan perasaan antikerajaan," katanya
Berkongsi petua perjuangannya dahulu, Zaleha berkata, kepentingan parti harus diberi perhatian berbanding perkara lain.
"Pada saya, pemimpin dan ahli UMNO perlu berpegang kepada kepentingan parti didahulukan, kepentingan rakyat dan pengundi diutamakan sementara kepentingan peribadi dibelakangkan untuk parti ini terus maju," tambahnya.
(sumber Utusan Malaysia Online)
